Friday, March 28, 2008

Contoh aliran tunai projek

Contoh aliran tunai projek - Buat Duit Dengan Cendawan Tiram

Keluasan (ha): 2.40
Bilangan rumah: 40 unit @ 20' x 80'
1 rumah @ 30,000 beg cendawan @ 17.5 kg/hari @ 6.39 tan/tahun

Analisa pengusaha cendawan

Disini saya ingin kongsikan beberapa maklumat ringkas yang sangat berguna kepada bakal-bakal pengusaha cendawan yang berminat. Ianya menceritakan secara ringkas tetapi padat mengenai maklumat-maklumat yang diperlukan oleh anda semua iaitu usahawan cendawan. Adalah diharapkan anda semua dapat mengunakannya sebaik mungkin.

i. TUJUAN KAJIAN

1. Kertas kerja telah disediakan oleh Unit Penggalakan Pelaburan dan Bahagian Perlindungan Tanaman & Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia dengan kerjasama Syarikat Vita Mushroom Enterprise di Lot 700, Jalan Laut Membiru, Taman Pelangi, tanjong Sepat, Selangor yang mempunyai keluasan 2.4 hektar.

ii. ANALISA KEWANGAN

2. Satu analisa kewangan keatas Projek Tanaman Cendawan Tiram Kelabu yang merupakan jenis tanaman tanah rendah yang diusahakan oleh Syarikat Vita Mushroom Enterprise dibuat. Berikut adalah huraian secara terperinci mengenai analisa kewangan

A. Pendapatan Projek

Tanaman cendawan mempunyai 2 pusingan dalam setahun. Andaian hasil bagi cendawan tiram kelabu yang diusahakan oleh syarikat adalah seperti berikut:-

Tahun berhasil

Pengeluaran hasil(tan/tahun)

1

77

2

77

3

128

4

128

5

160

6

192

7

224

8

256 dan seterusnya



Catatan: 1 rumah cendawan @ 30,000 beg cendawan @ 17.5 kg hari @ 6.39 tan/tahun

Pendapatan projek dikira dengan andaian harga jualan purata pada harga RM6.00 / kg @ RM6,000.00/tan. Oleh yang demikian, aliran wang masuk setiap tahun untuk setiap rumah cendawan ialah lebih kurang RM 38,380.00 dengan melibatkan 2 pusingan tanaman.

B. Kos perbelanjaan projek

Analisa kos perbelanjaan untuk projek tanaman cendawan tiram kelabu di Syarikat ini, boleh dibahagikan kepada kos pembangunan, kos bahan input, kos tenaga kerja dan lain-lain kos. Berikut adalah keputusan analisa berkenaan:-

i) Kos pembangunan

Dalam projek ini, kos pembangunan melibatkan beberapa perkara seperti pembersihan kawasan, membuat parit, pagar dan jalan ladang, rumah cendawan, pejabat, pembelian beg dan mesin media, mesin pembancuh media, set penutup beg media, bakul plastik, bilik sejuk, pelbagai peralatan dan kenderaan seperti forklift, lori dan troli. Jumlah kos pembangunan pada tahun pertama bagi setiap rumah cendawan adalah lenih kurang RM 44,825.00

ii) Kos bahan input

Purata kos bahan input yang diperlukan setiap tahun untuk projek cendawan ini dengan keluasan 6 ekar, adalah sebanyak RM 174,813.00. Antara bahan-bahan yang terlibat adalah seperti benih cendawan, habuk kayu, dedak padi, kapur dan plastik. Ini bermakna bagi setiap rumah cendawan tiram kelabu memerlukan kos bahan input sebanyak RM 4,370.00/tahun

iii) Kos tenaga kerja

Bagi mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu seluas 6 ekar memerlukan purata tenaga kos tenaga kerja sebanyak RM 258,250.00 setahun atau sebanyak RM 6,463.00 bagi setiap rumah cendawan. Kos tersebut termasuklah gaji bagi pengurus, kerani, penyelia kilang, pekerja kilang pembungkusan dan pekerja kilang pemprosesan serta pemandu.

iv) Lain-lain kos

Bagi kos yang perlu diambilkira termasuklah kos penyelenggaran seperti bil air, letrik dan gas dimana secara puratanya berjumlah sebanyak RM 63,531.00 setiap tahun untuk kawasan seluas 6 ekar atau sebanyak RM 1,588.00 bagi setiap rumah cendawan.

v) Jumlah modal yang perlu disediakan

Modal yang diperlukan untuk memulakan projek dikira berdasarkan kos pengeluaran. Jumlah kos pengeluaran untuk mengeluarkan projek cendawan tiram ini dengan keluasan 2.4 hektar pada tahun pertama adalah sebanyak RM 810,140.00 atau sebanyak 67,512.00 bagi setiap rumah cendawan tiram

v) Analisa daya maju projek

i) Nilai kini bersih @ NPV

Bagi projek tanaman cendawan tiram kelanu yang dikaji dengan kadar diskaun 10% dan tempoh projek selama 10 tahun, nilai NPVnya adalah positif iaitu RM 1,814,659.00. Oleh itu maka terbuktilah bahawa projek ini adalah berdaya maju.

ii) Nisbah faedah/kos (B/C ratio)

Bagi projek ini yang mempunyai keluasan 2.4 hektar, B/C ratio-nya adalah 1.46. Ini bermakna setiap RM 1.00 yang dilaburkan, memberikan pulangan sebanyak RM 1.46. Oleh itu, projek ini berdaya maju.

iii) Kadar pulangan dalaman (IRR-Internal rate of return)

Projek ini IRR-nya adalah 70%. Ini bermakna projek ini mempunyai IRR melebihi andaian kadar faedah (10%) dan menunjukan projek ini adalah berdaya maju.

iv) Tempoh pulangan modal

Tempoh pulang modal syarikat ini adalah 4 tahun. Indikator ini amat penting untuk meyakinkan lagi pengusaha projek tanaman cendawan tiram kelabu yang memilih katerogi projek berskala besar.


PENUTUP

Projek tanaman cendawan yang melibatkan cendawan jenis tanah rendah iaitu tiram kelabu yang diusahakan oleh syarikat ini adalah terbukti satu bidang yang berdaya maju dan mampu memberikan pulangan yang baik dan mampu memberikan pulangan yang baik dan menguntungkan. Industri cendawan di Malaysia mempunyai potensi yang tinggi kerana bidang ini akan memberikan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya. Tambahan pula, Malaysia kaya dengan bahan-bahan biomass seperti sisa industri kelapa sawit, jerami padi habuk kayu getah dan lain-lain.

RUJUKAN

1) Anon (2005), Komposisi zat dalam makanan Malaysia

2) Jabatan Pertanian (2005), Pengeluaran dan Pengusaha cendawan di Malaysia

3) Persatuan penyelidik cendawan Malaysia (2005). Skala projek vs Pendapatan bersih/bulan

4) Jabatan Perangkaan Malaysia (2005). Tren import dan eksport cendawan di Malaysia

http://cendawan-tiram-online.wetpaint.com/page/Analisa+pengusaha+cendawan

Agrotek: Cendawan mudah dijaga

Oleh Rosman Shamsudin

Spesies tiram kelabu dan ling zhi beri pendapatan lumayan

BEHRANG (Perak): Cendawan bukan sekadar tumbuhan yang mempunyai kandungan protein, karbohidrat dan serat yang tinggi berbanding sayuran lain, tetapi juga mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial.


Ada pelbagai jenis cendawan diusahakan oleh penanam cendawan iaitu tiram kelabu, tiram putih, telinga kera, abalone, ling zhi, bunga kobis dan butang yang sentiasa mempunyai pasaran di negara ini.

Ketika ini, ramai yang beranggapan proses menanam cendawan amat rumit, tetapi sebenarnya ia mudah serta senang dijaga dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip.

Penanam cendawan, Awaliah Wahid, 43, berkata bahan asas yang digunakan untuk menanam cendawan ialah habuk kayu, dedak padi, kapur pertanian serta benih.

Katanya, pada peringkat permulaan semua bahan ini digaul dengan air sehingga basah untuk menghasilkan medium cendawan.

Beliau berkata, medium cendawan yang siap diproses tadi dimasukkan di dalam beg plastik dan ditutup dengan menggunakan penutup plastik dan dihentakkan sehingga padat.

Sebelum menutupnya, pastikan span dimasukkan ke dalam penutup untuk menghasilkan blok cendawan dan kemudian disusun di dalam tong dram yang berisi air untuk menjalani proses kukus.

Proses ini bertujuan untuk membunuh semua organisma dan kuman yang ada dalam campuran medium cendawan yang disediakan dan selepas dikukus blok cendawan `direhatkan' selama dua hari sebelum menjalankan kerja penyuntikan benih.

"Selepas itu, penutup cendawan dibuka menggunakan pencungkil besi yang dipanaskan dan benih akan diisi dengan seseorang itu juga perlu mencatatkan tarikh dan jenis benih cendawan.

"Blok cendawan yang sudah diisi benih akan disusun di atas rak yang disediakan di rumah cendawan dan rumah itu mestilah berbumbungkan atap nipah atau rumbia serta di bahagian dindingnya pula dipasang jaring hitam," katanya ketika ditemui selepas menganjurkan Kursus Penanaman Cendawan (KPC) di Kampung Padang, Behrang Stesen, dekat sini, baru-baru ini.

Kursus itu dikendalikan melalui Atikah Trading yang terbabit secara langsung menganjurkan KPC kepada golongan belia, pesara dan siswazah menganggur.

Pada sesi kursus itu, suami Awaliah, Johari Mat Isa turut bertindak sebagai penceramah.

Awaliah yang berpengalaman selama dua tahun dalam penanaman cendawan berkata, blok cendawan itu akan diperam kira-kira tiga bulan dan dalam tempoh itu, seseorang pengusaha perlu menyiram air tiga kali sehari pada lantai serta pada badan blok cendawan.

Katanya, cendawan memerlukan cahaya yang lemah dan sekata, pertumbuhannya akan terbantut jika terkena sinaran matahari berlebihan dan bagi cendawan yang terkena penyakit perlu diasingkan supaya tidak merebak ke blok cendawan lain.

Selepas kira-kira tiga bulan spora akan terbentuk di dalam blok cendawan dan mengembang memenuhi blok itu. Penutup blok akan dibuka dan cendawan akan mulai tumbuh kira-kira lima hari selepas penutup dibuka.

Setiap cendawan perlu dikutip sebelum bahagian tepinya kelihatan berombak dan selepas dikutip blok cendawan perlu ditutup semula dan direhatkan selama 10 hari sebelum dibuka kembali untuk memudahkan proses pembentukan semula spora di dalam blok itu.

"Sejambak cendawan boleh mencecah 80 gram dan satu blok cendawan boleh dituai hasilnya sehingga enam kali dalam tempoh empat bulan.

"Selepas itu, hasilnya akan berkurangan dan perlu membuat blok baru," katanya.

Katanya, blok cendawan yang tidak dapat mengeluarkan hasil lagi boleh dihancurkan untuk dijadikan baja kompos dan makanan kambing dengan mencampurkan beberapa jenis bahan lain.

Beliau berkata, cendawan yang dituai boleh disimpan kira-kira tiga hari dalam peti sejuk.

Sementara itu, Johari berkata, bagi pengusaha secara kecilan untuk kegunaan isi rumah hanya memerlukan kira-kira RM500 sebagai modal.

Bagaimanapun, jika untuk dijadikan pendapatan sampingan modal yang diperlukan iaitu kira-kira RM5,000 dan mampu memperoleh pendapatan bersih RM2,000 sebulan.

Katanya, bagi tujuan komersial pula, dengan mempunyai lebih banyak rumah cendawan pengusaha mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan jika diusahakan dengan gigih.

"Kita tidak perlu bimbang untuk memasarkan cendawan kerana ia sentiasa mendapat permintaan daripada restoran, pasar tani, pasar borong dan pasar raya serta harganya boleh mencecah RM8 sekilogram.

"Tidak ada langsung bahan atau baja kimia digunakan di sepanjang proses penanaman cendawan menyebabkan cendawan sentiasa menjadi pilihan sebagai bahan masakan," katanya.

Peserta kursus, Suriadi Piai, 29, berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, berkata proses penanaman cendawan tidak rumit seperti yang beliau sangkakan selama ini.

"Saya percaya dengan teori dan latihan yang diberikan saya mampu menceburkan diri dalam bidang tanaman cendawan yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya.

Siswazah Lepasan Universiti Multimedia jurusan kewangan, Salman Sarif Salleh, 27, berkata peluang mempelajari teknik tanaman cendawan akan digunakan sepenuhnya untuk menjadi usahawan.

Beliau berkata, walaupun memiliki kemahiran berbeza daripada bidang dipelajari, ia bukan faktor penghalang kerana sektor pertanian juga mampu menjamin kehidupan jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai kursus tanam cendawan yang dijalankan boleh menghubungi talian 05-4541635 atau 019-3544888.

FAKTA
Cendawan

# 100 gram cendawan basah mempunyai kandungan air 89.2 peratus, karbohidrat (4.1 peratus), protein (3.6 peratus), serat (1.8 peratus) dan lemak (0.7 peratus).

# Cendawan mengandungi protein, vitamin dan zat galian seperti kalium dan posforus yang penting untuk kesihatan badan.

# Hasil pertama boleh dituai selepas tiga bulan.

# Harga sekilo cendawan mencecah RM8 sekilogram.

# Bongkah cendawan yang tidak mengeluarkan hasil boleh dijadikan baja kompos.

Ibu Tiga Anak Pengusaha Cendawan

21 Mac 2008
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.

Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.

Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.

Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.

“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,”katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.

Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.

Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.

Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.

“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.

Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.Nota: Pn Zainon juga akan mengadakan Kursus Menghasilkan Produk-Produk Berasaskan Cendawan pada 22hn-03-2008 di Bukit Raja, Klang

Bekas mekanik kini pengusaha cendawan

Sumber : Akhbar Berita Harian Bertarikh 21hb Mac 2008

Ahmad Bakri sambut seruan kerajaan tambah bilangan usahawan tani Bumiputera

MARAN: Kemampuan Bumiputera dalam sektor pertanian komersial bukan sesuatu yang baru. Bilangan mereka yang semakin bertambah membuktikan usaha gigih itu mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.


Bagaimanapun, jumlah mereka yang terbabit dalam industri tanaman cendawan masih kurang menyebabkan seorang bekas mekanik, Ahmad Bakri Ishak, 30, berhasrat mendalami bidang itu secara lebih serius.
Ahmad Bakri berkata, sepanjang terbabit dalam sektor itu tiga tahun lalu, beliau menyedari bahawa pertanian memberi lebih keuntungan jika diusahakan secara lebih praktikal dan bersistematik.

Bersama isteri, Norsailah Mohd Alias, 27, beliau memulakan projek tanaman cendawan di belakang rumah ibunya, Asiah Abdullah, di Felda Bukit Tajau, Maran, selepas melihat dan mengkaji nilai komersial tanaman itu di pasaran tempatan.

Tanpa sebarang kursus dan latihan asas mengenai proses penanaman dan penghasilan cendawan, beliau membuat keputusan membina sebuah rumah cendawan sebagai permulaan dan membeli bahan mentah iaitu habuk kayu getah, dedak ayam halus, kapur pertanian dan mesin pengisar habuk dengan modal permulaan RM4,000.
"Lawatan ke beberapa ladang cendawan di Triang dan Balok berjaya membuka minda saya untuk memulakan perniagaan ini selepas mendapat nasihat pengusaha itu sendiri selain dorongan keluarga."Walaupun pada peringkat awal projek, saya hanya memperoleh pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskannya kerana yakin `pertanian adalah perniagaan," katanya.
Ahmad Bakri berjaya meningkatkan pendapatannya kepada RM3,000 sebulan dan mula membuat simpanan untuk membina dua lagi rumah cendawan bagi menampung permintaan pasaran.Kini, syarikatnya, ABS Bakri Enterprise adalah pengeluar cendawan tiram kelabu yang aktif membekalkan cendawan segar dan bungkah benih cendawan kepada penduduk setempat, pembekal dari luar daerah dan sekitar Maran terutama peniaga kedai makan dan restoran.

Beliau berkata, walaupun permintaan semakin meningkat, pihaknya tidak dapat memenuhinya berikutan kekurangan bahan mentah dan pekerja."Ada ketikanya, bekalan benih cendawan kehabisan dan saya terpaksa pergi ke ladang cendawan di Triang untuk mendapatnya dalam kuantiti yang besar, selain membeli habuk kayu getah sehingga 10 tan pada satu-satu masa."Benih cendawan dibeli RM5 bagi setiap botol dan boleh diisi dalam 30 bungkah, manakala habuk kayu yang dibeli berharga RM400 bagi setiap 10 tan boleh menghasilkan antara 20,000 hingga 25,000 bungkah," katanya.

Ahmad Bakri memperuntukkan sebahagian besar masanya meneliti bungkah cendawan bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan tidak dicemari bakteria atau kuman, selain ancaman tikus.Beliau berkata, penjagaan rapi dan penetapan masa penting bagi memastikan kadar pertumbuhannya selari dengan tempoh ditetapkan iaitu antara 40 dan 50 hari bagi kutipan hasil setiap satu pusingan.

"Saya menggunakan modal sendiri menjalankan kegiatan ini kerana tidak mahu dibebani hutang seandainya projek ini gagal."Sekarang, saya memiliki sebuah rumah cendawan berukuran 14 x 16 kaki yang boleh memuatkan sehingga 5,000 bungkah cendawan dalam satu masa, sebuah bilik penyediaan bungkah cendawan dan sebuah bekas untuk mengewap bungkah," katanya.

Ahmad Bakri berkata, beliau mampu menjual antara 4,000 hingga 5,000 bungkah cendawan sebulan dan permintaan terus meningkat berikutan orang ramai mula didedahkan dengan kebaikan dan khasiatnya."Saya juga membekalkan cendawan segar pada harga RM10 sekilogram, manakala RM1 dan RM1.20 bagi setiap bungkah cendawan," katanya.

Menurutnya, proses pembiakan cendawan tiram kelabu tidak sukar kerana ia memerlukan suhu lembap sekitar 27 darjah celsius dan 90 peratus kegelapan bilik yang sentiasa bertutup untuk membiak cepat dan sihat. Selain itu, lantai rumah cendawan perlu disiram antara satu dan dua kali sehari bagi melembapkan suhu dalam rumah cendawan berkenaan."Jika terdedah pada kepanasan matahari, cendawan akan menjadi kecut menyebabkan kualitinya merosot. "Selain itu, bungkah cendawan juga akan rosak jika terkena air dan alah kepada bauan seperti minyak wangi dan asap rokok kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhannya," katanya yang turut mendapatkan maklumat mengenai tanaman cendawan menerusi internet.

Ahmad Bakri berkata, berdasarkan potensi pasaran cendawan, pihaknya sedia membantu mana-mana usahawan yang mahu terbabit dalam sektor itu walaupun diusahakan secara kecil-kecilan. "Kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya terbabit dalam sektor pertanian kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.Berdasarkan pengalaman, saya sedia menyalurkan ilmu kepada sesiapa yang berminat, sekali gus pembabitan mereka kelak dapat menampung permintaan cendawan yang semakin meningkat," katanya.


Usahawan cendawan - MyLaling

Rancangan Perniagaan Cendawan

Inilah satu business yang bagus dan dah try pun 6 bulan yg lepas income dari 3 ekar tanah aka 45K bag cendawan menghasilkan 150Kg cendawan tiram kelabu segar setiap hari.. mmm.. dalam Rm daily gross income RM600

Nantilah laling upload paper work dan proposal pasal cendawan ni dalam bentuk power point everything is there.. 137 page

Nanti ingatkan laling bagi links.
salam semua .. Ramai ye tunggu rancangan perniagaan cendawan ni.
Anyway laling suka cendawan ni pasal suasana kerja dia kena sejuk,moisture dan teduh.. macam kerja dalam office lak.. projek cendawan ni laling just investor dan pemegang akaun syarikat..Ada gak setiap 2 minggu gi site visit..dan bantu apa patut..

Update lagi kalau you all dah start business cendawan jabatan Pertanian ada bagi gran subsidi kepada bumiputra RM10-12 ribu ringgit.. memang sangat digalakkan kerajaan dibawah kementerian asas tani.

Ok RP laling ni kalau dah download tolong edit ikut kesesuaian dengan kamunye bajet.dan
PALING PENTING JANGAN JUAL PULAK... TAK BERKAT ,anggaplah bendani atas dasar tolong menolong untuk orang melayu maju dan serius menjana pendapatan


Ok here we go
Rancangan Perniagaan Cendawan
(43.18MB)

Harap membantu..
24-05-2007, 10:43 PM
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=17370&page=3

Cendawan goreng kunyit

Sempena cuti hujung minggu, saya dan isteri pakat untuk masak cendawan goreng kunyit. Resepi ini saya dapat dari seorang sahabat saya ketika berkunjung dan dijemput makan di rumahnya. Memang sedap, dan saya memberitahu isteri untuk mencubanya. Ianya lebih kurang macam masak udang goreng kunyit, bezanya udang itu digantikan dengan cendawan tiram kelabu.

cendawan tiram kelabu digaul bersama kunyit dan garam

goreng sehingga masak dan masukkan cili api dan bawang yang dihiris

siap untuk dihidang....

Pengusaha cendawan rugi RM200,000

PETIKAN DARI HARIAN METRO 01-10-2007
Pengusaha cendawan rugi RM200,000

MUAR 10.01.07 =Banjir yang melanda daerah ini selama kira-kira dua minggu, baru-baru ini, turut menjejaskan pendapatan pengusaha cendawan tiram kelabu, di Kampung Terus, Panchor, di sini, apabila bangunan pusat menanam tanaman itu ditenggelami air.
Pengusaha tanaman itu, Rosli Amir, 35, berkata beliau mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila kesemua peralatan termasuk alat mengawal suhu di dalam bangunan itu rosak.
Beliau berkata, selain itu kira-kira 50,000 bongkah tempat semaian cendawan hampir mengeluarkan hasil turut musnah apabila pusat tanaman itu ditenggelami air kira-kira 1.5 meter.
Projek menanam cendawan di bawah skim usahawan tani Jabatan Pertanian itu dimulakan sejak dua tahun lalu dengan modal sebanyak RM180,000 bersama rakan kongsi saya Asmadi Tulus.
“Tanaman yang dihasilkan itu mendapat pasaran menggalakkan termasuk pengusaha restoran tempatan dan luar kawasan selain peniaga runcit dan pasar tani,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bergotong royong bersama kira-kira 100 anggota Briged Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyertai program pemulihan mangsa banjir membabitkan lima kampung pedalaman sekitar Panchor, di sini, kelmarin.
Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat; Pegawai JKM daerah, Kamarudin Karim; Ketua Kampung Melayu, Jamal Sudin, Ketua Kampung Sungai Ranggam/Sungai Alai, Bardan Ahmad Kastik dan Ketua Kampung Terus, Alias Taslim.
Rosli berkata, sebahagian besar bongkah semaian mengandungi cendawan yang mula bercambah dihanyutkan air menutup beberapa perparitan yang mengalirkan air ke sungai.
Bagaimanapun, katanya, cendawan yang bernilai kira-kira RM50,000 daripada bongkah semaian di dalam bangunan pusat tanaman itu yang dijangka dipasarkan bulan depan kesemuanya busuk dan masam kerana ditenggelami air.
Sementara itu, Asmadi berkata, air yang naik begitu cepat menenggelamkan sebahagian besar rumah penduduk kampung itu termasuk bangunan pusat perusahaan menanam cendawan.
Beliau berkata, semua cendawan sedang bercambah di dalam bongkah semaian mati kerana terlalu lama berendam dalam air dan dalam bangunan pula busuk.
“Kerja mengeluarkan bongkah semaian di dalam bangunan itu yang rosak perlu disegerakan bagi mengelak berkulat sekali gus menjejaskan cambahan tanaman baru.
“Bagaimanapun kami bersyukur kerana melalui program pemulihan mangsa banjir disertai anggota Briged Sukarelawan JKM membantu mempercepatkan kerja berkenaan,” katanya.

Berita Usahawan Cendawan - En Nabil

Perusahaan penanaman Cendawan Tiram Kelabu secara komersial mula mendapat tempat di negara kita Malaysia.Buat masa ini permintaan adalah melebihi pasaran untuk bekalan cendawan segar. Untuk liputan kali ini, majalah YourLivestock.com beruntung kerena dapat bertemu dengan En Nabil Bin Sanusi seorang pengusaha Cendawan Tiram Kelabu di Kg Jenderam, Salak Tinggi.

En Nabil mula mengusahakan tanaman cendawan secara komersial ini dalam 6 bulan lepas iaitu dalam sekitar bulan Mac 2007. Beliau telah mula mengutip hasilnya dalam awal bulan Jun 2007.Kapasiti pengeluarannya adalah 50KG cendawan sehari dan akan di tingkatkannya kepada 100KG sehari dalam masa terdekat. Kapasiti ladang cendawan beliau buat masa ini boleh menghasilkan sehingga kepada 300KG cendawan sehari.

Encik Nabil merupakan graduan akauntan dari Universiti tempatan mula menceburi bidang logistik terlebih dahulu sehingga di perkenalkan oleh rakan-rakan beliau kepada perusahaan cendawan tiram kelabu secara komersial. Beliau kemudian telah mengambil beberapa kursus berkaitan cendawan dari Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi dan Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia (MSAE) dan juga dari Jabatan Pertanian. Berbekalkan ilmu dan keyakinan, beliau melabur lebih dari 200K untuk membuka ladang tanaman cendawan tiram kelabu secara komersial.

Khasiat Cendawan Tiram

Penanaman Cendawan Tiram Kelabu

Terdapat lebih kurang 30,000 jenis spesis cendawan di dunia ini. 5,000 daripadanya yang boleh di makan. Di Malaysia ada 17 jenis spesis dari 5,000 jenis spesis yang boleh di makan.Kali ini kita akan kongsi mengenai cendawan yang di namakan Cendawan Tiram kelabu atau nama saintifik dia (Pleurotus Sajor-caju).

Khasiat Cendawan Tiram Kelabu adalah seperti berikut.

Khasiat:
1) mengawal atur darah - anti trombotik, merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid
2) tingkatkan sistem imun badan untuk melawan jangkitan virus dan bakteria
3) merencatkan tumbesaran tumor
4) sebagai anti-oksida dan aktiviti pelindung gen

Cara makan cendawan : (memang ada banyak jenis resipi cendawan ini)
1) di buat Tom Yam, Sup
2) di buat Sate
3) di goreng tepung
4) di masak sayur campur